SELAMAT DATANG KAMI UCAPKAN KEPADA ANDA SEMUA YANG SUDI MELAWAT KE BLOG KAMI

Sabtu, 25 Januari 2014

PENDAKIAN GUNUNG KINABALU




Konvoi Kemerdekaan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) Dan Skuad Muda JLKN
Pendakian Gunung Kinabalu, Sabah

Hari Pertama Jurnal Pendakian Gunung Kinabalu (27.08.2013)
Kami berlepas dari Kem PLKN KK Di Bawah Bayu  pada jam 10 pagi. Perasaan teruja untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu semakin menebal. Berkobar - kobar perasaan ini untuk mencipta sesuatu yang baru untuk semuanya. Namun Saya akui Saya turut gemuruh dan gusar mengenai segala cabaran dan dugaan yang menanti kami di sana. Namun ianya tak akan mampu untuk mematahkan semangat Saya. Saya berserah segalanya kepada ALLAH. Saya akan usahakan yang terbaik dan termampu. InshaaALLAH jika dengan izinNYA, Saya akan sampai ke punca.. Rehat sepanjang perjalanan menuju ke Kundasang kerana masih kurang rehat dan tidur setelah 3 hari berkonvoi dan melakukan aktiviti kesukarelaan.


Setelah mendapat penginapan, Saya rehat sebentar. Tidak lama kemudian Saya bangun untuk mandi dan pergi solat Maghrib dan Isyak Jamak dan 
Qasar secara berjemaah. Selepas itu, kami pergi menjamu selera beramai - ramai di Baslam Restaurant. Selesai saja makan, kami ada taklimat mengenai pendakian esok dan selepas itu kami diberi rehat secukupnya. Tidak sabar menanti hari esok yang penuh dengan cabaran.


Hari Kedua Jurnal Pendakian Gunung Kinabalu (28.08.2013)
Seawal jam 4.45 pagi kami telah bangun dan solat Subuh di samping mempersiapkan diri untuk 
pendakian yang bermula hari ini. Setelah selesai bersarapan, bermulalah satu pengkisahan terindah yang penuh dengan cabaran dan dugaan, ahli BSKN bersama Skuad Muda JLKN akan melakukan pendakian Gunung Kinabalu buat julung - julung kalinya.


Kami berlepas di Pondok Timpohon berbekalkan semangat yang berkobar - kobar kerana pendakian kami diiringi oleh dua orang penting JLKN iaitu Ketua Pengarah JLKN sendiri, Dato' Abdul Hadi bin Awang Kechil dan Pengarah Bahagian Sukarelawan dan Alumni JLKN, Kolonel Rosli bin Tahir.


Sepanjang pendakian, banyak pengalaman, nilai, dan pengajaran yang Saya perolehi. Semangat kerjasama yang tinggi di antara ahli BSKN dan Skuad Muda JLKN tidak putus – putus disalurkan. Kata – kata semangat dan pendorong sentiasa diberikan di antara satu sama lain bagi memastikan semua kekal bersemangat sehingga ke puncak gunung. Perkara ini cukup menperlihatkan perpaduan yang utuh tanpa mengira agama, adat resam dan kaum.





Di sepanjang perjalanan menuju ke Laban Rata, panorama yang cukup indah menghiasi dan mengiringi pendakian kami. Panorama inilah sebenarnya adalah sesuatu kekuatan dan tarikan yang ada pada negara ini yang perlu dimanfaatkan serta dipertahan sampai bila – bila. Udara segar yang dihirup membuatkan kami sentiasa bersemangat dan berasa segar untuk meneruskan pendakian.

Persoalan terbesar Saya pada diri Saya mampukah Saya mengatasi kekurangan diri untuk menawan Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara ini? Saya berazam untuk melakukan yang terbaik dan termampu untuk menawannya bersama yang lain. Setelah melalui pelbagai cabaran suka dan duka, kami semua berjaya sampai ke Laban Rata dan berehat secukupnya.

 


Hari Ketiga Jurnal Pendakian Gunung Kinabalu (29.08.2013)

Setelah mendapat rehat yang cukup di Laban Rata, pendakian diteruskan menuju ke puncak Gunung Kinabalu di mana semangat ahli BSKN dan Skuad Muda JLKN terpatri. Pendakian di waktu Subuh (2.30 AM) inilah yang cukup memberi cabaran terhebat kepada kami semua. Suhu yang sangat sejuk, angin kencang yang bertiup, kabus tebal, bentuk muka bumi yang berbatu, licin dan curam cukup menguji kekuatan mental dan fizikal seseorang individu itu. Mujurlah berbekalkan semangat dan jati diri  yang jitu dan utuh, akhirnya kami berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu.




Perasaan teruja, puas, berbangga dan terharu terpancar di setiap wajah – wajah yang berada di puncak

 gunung itu. Ahli BSKN dan Skuad Muda JLKN telah mencipta sejarah kerana berjaya menawan Sang Kinabalu yang ternyata menyimpan 1001 kisah terindah, suka dan duka. Kejayaan mendaki Gunung Kinabalu ini juga merupakan tanda setinggi – tinggi penghargaan ahli BSKN dan Skuad Muda JLKN kepada JLKN, PLKN, BSKN dan umumnya untuk negara tercinta Malaysia sempena hari kemerdekaan yang akan menjelang tiba dengan temanya Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku. Terima Kasih, Malaysia!!!~



Kesimpulannya, sepanjang Konvoi Kemerdekaan yang telah Saya ikuti dari hari pertama sehingga hari terakhir ini cukup menginspirasikan dan menyemai nilai – nilai murni di dalam diri Saya. Semangat kesukarelaan semakin menebal di dalam diri Saya. Saya sedia menghadapi sebarang cabaran dan dugaan setelah berjaya mengatasi kekurangan diri untuk menawan puncak Gunung Kinabalu. Ajakan Saya kepada para belia yang ada di luar sana khususnya ahli – ahli BSKN, ayuhlah bersama menjadi barisan remaja yang mempunyai jati diri yang unggul yang diperlukan oleh negara ini. Tiada yang mustahil sekiranya kita fikirkan kita boleh melakukannya.


Terakhir sekali, jutaan terima kasih kepada JLKN kerana menjadikan salah seorang peserta konvoi. Saya terkesan dengan pelbagai nilai, pengalaman, pengajaran dan memori. Semangat patriotik Saya semakin berkobar – kobar dan diasah sepanjang konvoi kemerdekaan ini. Saya sedia berkhidmat untuk negara lagi. Terima kasih untuk segalanya.







Hasil Nukilan; 
Muhammad Faidlee bin Muhd Taupik
Jurulatih Multiskill,
Kem PLKN Bagai Budi,
Sandakan, Sabah